IPOH, 1 April (Bernama) -- Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa ke reruai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini bersempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 5 April ini (Jumaat hingga Ahad).
JPA dalam satu hantaran menerusi laman Facebook memaklumkan reruai berkenaan akan menyediakan informasi tentang penajaan yang ditawarkan JPA untuk lepasan SPM menyambung pendidikan mereka.
“Kepada adik-adik lepasan SPM yang telah berjaya, admin ucapkan tahniah. Jemput datang ke reruai JPA pada Program MADANI Rakyat 2026 Perak, bawa ibu bapa bersama untuk mendapatkan informasi penajaan JPA. Mana tahu rezeki, dapat penajaan JPA!” menurut hantaran itu.
Selain itu, reruai berkenaan akan menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk nasihat urusan perkhidmatan, khidmat nasihat program penajaan JPA, khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan serta penilaian kesejahteraan psikologi.
PMR 2026 kembali tahun ini dengan lokasi pertama di Perak, menawarkan inisiatif penyampaian perkhidmatan secara langsung serta pengisian yang memberikan manfaat kepada masyarakat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai kementerian peneraju.
Sepanjang tiga hari penganjuran, PMR 2026 Perak bakal menawarkan pelbagai pengisian menarik merangkumi perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat, perkhidmatan kesihatan, Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.
Turut dilaksanakan ialah program tawaran peluang pekerjaan, festival makanan dan jualan usahawan tempatan, program pertukaran topi keledar, pertukaran minyak enjin motosikal percuma, perkhidmatan gunting rambut percuma, pengagihan biji benih dan anak pokok, pameran aset pertahanan dan keselamatan serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu pada 4 April (Sabtu).
-- BERNAMA
