KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di 248 stesen minyak seluruh negeri susulan penguatkuasaan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata pemantauan itu dilakukan menerusi Operasi Membanteras Penyelewengan Bahan Api Subsidi yang melibatkan 140 pegawai penguat kuasa.
"Pelaksanaan operasi ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026, bagi memastikan subsidi petrol disalurkan kepada rakyat di negara ini yang layak.
"Bagi hari pertama pelaksanaan ini, 140 pegawai penguat kuasa KPDN Kelantan digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan, pemantauan serta advokasi penguatkuasaan di 248 stesen minyak di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah berkenaan diambil susulan keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada 30 Sept 2025 melalui mekanisme harga apungan terkawal, meskipun harga bahan api itu masih lebih rendah berbanding negara jiran.
"Perbezaan harga tersebut dilihat mendorong peningkatan permintaan petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing, sekali gus meningkatkan risiko ketirisan subsidi serta menjejaskan kestabilan bekalan domestik.
"Pegawai penguat kuasa akan mempergiatkan pemeriksaan secara statik di stesen minyak, kawalan di pintu sempadan serta rondaan setiap hari di lokasi tumpuan dan kawasan berisiko tinggi," katanya menambah tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan.
-- BERNAMA
