PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Sebanyak 22 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lulus semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua mereka adalah antara 27 klien AADK yang menduduki peperiksaan itu semasa menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) pada tahun lepas.
Beliau berkata 20 daripada calon SPM tersebut merupakan klien di PUSPEN Karangan, Kedah, manakala enam dari PUSPEN Papar, Sabah, dan seorang di PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Semua klien ini sedang mengikuti program RPDI di PUSPEN berkenaan yang menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK), khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kedua dalam kebajikan pendidikan.
“Menerusi program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru berpengalaman serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata terdapat enam mata pelajaran diambil klien AADK iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.
Mengulas mengenai program PAPK, beliau berkata ia bertujuan membantu klien AADK mendapatkan pendidikan formal yang boleh menjamin masa depan, dengan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.
“Usaha ini bagi memberi peluang kepada klien memajukan diri dalam akademik dan sijil kemahiran menerusi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dimanfaatkan klien AADK untuk meneruskan kehidupan, sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.
“Selain itu, PAPK menjadi titik tolak kepada perubahan persepsi bahawa keciciran di sekolah tidak semestinya berakhir tanpa ada ruang untuk memperbaikinya,” katanya.
-- BERNAMA
