KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar awam negara dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI) dengan mengimbangi antara risiko dan peluang, di samping mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kandungan yang disampaikan.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail berkata perkembangan teknologi termasuk AI perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai keperluan untuk memastikan industri penyiaran kekal relevan.
"Persoalannya ialah bagaimana kita mahu kekal relevan pada tahun-tahun mendatang, atau lebih mudah difahami, (memastikan) bakat kita masih ada kerja dan tidak diambil alih oleh robot. Itu lensa risiko sekiranya kita tidak melakukan apa-apa untuk bertindak balas atau beradaptasi dengan perubahan.
"Lensa kedua ialah peluang, iaitu bagaimana kita dapat mengguna pakai perkembangan teknologi ini untuk memperhebat kualiti bakat dan hasil produk kita. Ini falsafah asas dalam mendepani era AI," katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Temu bual itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 RTM hari ini, sebagai institusi penyiaran awam yang menerajui landskap penyiaran negara sejak penubuhannya pada 1946.
Mengulas lanjut, Ashwad berkata kedua-dua aspek risiko dan peluang itu perlu diimbangi secara bijaksana bagi memastikan organisasi penyiaran terus berdaya saing dalam landskap media yang semakin mencabar.
Beliau berkata sejak penubuhannya, RTM sentiasa berevolusi mengikut perkembangan teknologi dan kekal memainkan peranan sebagai wadah maklumat kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kepercayaan kekal menjadi tunjang utama dalam memastikan kredibiliti organisasi media terus terpelihara, khususnya dalam era digital yang menyaksikan kemunculan teknologi seperti deepfake.
RTM, katanya, mempunyai garis panduan dalam penggunaan AI bagi memastikan teknologi berkenaan dimanfaatkan secara beretika dan bertanggungjawab, termasuk dalam penghasilan kandungan berita.
Beliau berkata industri media ketika ini masih berada dalam fasa eksperimen dalam menilai keberkesanan AI, dan pada masa sama perlu mengambil pengajaran daripada perkembangan media sosial yang sebelum ini berkembang tanpa kawal selia mencukupi.
-- BERNAMA
