AM

PROMOSI RTMKLIK DENGAN KANDUNGAN BAHARU, PERKUKUH PERANAN SATUKAN RAKYAT - FAHMI

01/04/2026 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran membantu mempromosikan RTMKlik sebagai platform utama penyampaian kandungan digital baharu termasuk di peringkat antarabangsa selaras dengan perubahan corak penggunaan media dalam kalangan generasi muda.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini perancangan sedang dilakukan untuk menyalurkan kandungan yang khusus menerusi platform berkenaan dalam masa terdekat.

“… semua warga RTM perlu membantu usaha Ketua Pengarah Penyiaran (Ashwad Ismail) untuk menguar-uarkan RTMKlik. Dalam masa yang tidak terlalu lama, banyak kandungan baharu yang akan mula kita tonton,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun RTM ke-80 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ashwad serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata RTM perlu menyesuaikan strategi kandungan bagi menarik perhatian generasi baharu seperti Gen Z dan Gen Alpha yang tidak lagi menggunakan platform tradisional sepenuhnya.

Beliau turut mengingatkan stesen televisyen itu supaya terus memainkan peranan bukan sahaja sebagai penyampai maklumat tetapi juga penyedia kandungan hiburan bagi menceriakan rakyat dalam suasana mencabar ketika ini.

“... kita mesti bersatu hati, menyampaikan pandangan kepada rakyat untuk satukan rakyat supaya kita dapat sama-sama mengharungi dugaan yang sangat besar. Kita juga mempunyai satu tanggungjawab untuk menceriakan dengan konsert dan program baharu… happy (gembira) tetap happy (gembira), tetapi kita masih bersedia untuk keadaan yang sedang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan