AM > BERITA

Sijil Perlindungan Harta Intelek Musang King Diperbaharui Hingga 2034

19/09/2024 08:07 PM

SERDANG, 19 Sept (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah memperbaharui sijil perlindungan harta intelek tempatan bagi durian Musang King untuk tempoh 10 tahun iaitu hingga 12 Mac 2034, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Bercakap kepada media selepas melancarkan buku Pakej Teknologi Durian di sini hari ini, beliau berkata langkah itu menjadikan Musang King sebagai jenama durian hak milik Malaysia dan tidak boleh diguna pakai oleh negara lain.

“Kita (Malaysia) telah daftar durian Musang King sebagai jenama khas melalui MyIPO (untuk) tempoh 10 tahun. Bila dah paten, orang (negara) lain payah kalau nak guna pakai,” katanya.

Kali pertama Musang King didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Petunjuk Geografi adalah pada 13 Mac 2014. 

Pendaftaran itu bertujuan mengiktiraf reputasi dan kualiti luar biasa raja buah itu yang merupakan produk buah-buahan unik Malaysia yang kini turut digemari penduduk global.

Mohamad berkata durian kini bukan sekadar ditanam untuk dinikmati ahli keluarga, sebaliknya menjanjikan pendapatan lumayan apabila Malaysia menjadi pengeksport durian segar ke China.

“Durian ketika ini bukan sekadar tanaman untuk bagi anak cucu makan. Kita telah hantar kira-kira 40 tan metrik durian segar pelbagai jenis ke China baru-baru ini. Saya yakin musim durian akan datang, kita dijangka hasilkan ribuan tan lagi untuk dieksport ke China,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pengusaha tanaman durian di seluruh negara melipatgandakan usaha menanam dan menjaga kualiti durian dari ladang masing-masing.

Beliau berkata harga sebiji durian Musang King yang dipasarkan di China adalah sekitar RM350, namun tetap diminati oleh rakyat di negara itu.

Mohamad berkata ketika ini Pahang menjadi negeri pengeluar terbesar Musang King diikuti Perak.

Malaysia mula mengeksport durian segar ke China pada 24 Ogos lepas, selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai antara Mohamad dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua di Putrajaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan