AM > BERITA

Pulau Pinang Beri Insentif RM553,200 Kepada Penyumbang Pingat SUKMA

19/09/2024 11:43 PM

GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memberikan insentif sebanyak RM553,200 kepada atlet yang menyumbang pingat serta jurulatih, pengurus dan persatuan sukan yang terlibat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, bulan lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata imbuhan menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (SKIMAS) itu diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas pencapaian cemerlang kontinjen negeri itu yang melepasi sasaran dengan meraih 41 pingat emas, 45 perak dan 53 gangsa.

Beliau berkata imbuhan kepada pemenang pingat emas kali ini ditingkatkan 50 peratus iaitu RM6,000 berbanding RM4,000 sebelumnya manakala bagi pingat perak dan gangsa masing-masing kekal RM2,500 dan RM1,500.

“Insentif ini diharap menjadi motivasi dan meningkatkan semangat semua atlet untuk terus berjuang dalam bidang sukan. Kerajaan negeri akan terus komited dalam menyokong pembangunan sukan negeri ini serta memberikan galakan untuk mereka mencapai kejayaan lebih tinggi.

“Saya juga berterima kasih kepada ibu bapa, jurulatih, persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) yang bekerja keras hingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan bimbingan mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Kejayaan SUKMA Sarawak 2024 di sini malam ini.

Pasukan judo menjadi penerima terbanyak dengan jumlah keseluruhan RM59,050 selepas memungut enam pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Sementara itu, Pengarah MSNPP Harry Chai Heng Hua berkata penyertaan Pulau Pinang di SUKMA Sarawak adalah yang terbaik sejak kali pertama temasya itu dianjurkan 38 tahun lepas.

Beliau berkata kutipan emas tertinggi yang pernah dicatatkan kontinjen Pulau Pinang sebelum ini ialah 38 yang diperoleh ketika SUKMA di Negeri Sembilan pada 2004 dan Kedah, 2006.

“Pada edisi kali ini, kita bukan sahaja mengutip 41 emas (melebihi 40 yang disasarkan), malah tiga atlet kita berjaya memecahkan rekod SUKMA iaitu bagi acara renang 50 meter gaya bebas lelaki menerusi Tong Yu Jin serta olahraga masing-masing menerusi acara dekatlon (Wilson Quaik) dan heptatlon (Melissa Chong).

“Pulau Pinang juga berjaya menjadi juara keseluruhan bagi empat jenis sukan iaitu judo dengan enam emas, tinju (lima emas), catur (lima emas) dan gimnastik artistik (empat emas) selain sepak takraw berpasukan lelaki menyumbang pingat emas selepas kali terakhir memenanginya 24 tahun lepas,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri selaku Ketua Kontinjen Daniel Gooi Zi Sen yang turut hadir pada majlis itu, berbangga dengan pencapaian ditunjukkan keseluruhan kontinjen pada temasya kali ini dan berharap ia menjadi teladan kepada generasi muda untuk berusaha mencapai kejayaan dalam bidang sukan.

“Kepada semua pemenang pingat dan atlet teruskan usaha dan semangat anda semua, semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada kejayaan lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan