AM > BERITA

PM Anwar Tinjau Banjir Di Kedah Esok - Ahmad Zahid

20/09/2024 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke Kedah esok bagi meninjau situasi terkini banjir di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan.

“Perdana Menteri sendiri akan pergi ke Kedah esok. Walaupun Kedah itu diperintah oleh orang lain, tetapi keprihatinan kepada rakyat itu tetap kita berikan.

“Kita telah menghantar (anggota) sepenuhnya, bukan hanya anggota NADMA tetapi kita koordinasikan operasi ini dengan lain-lain jabatan dan agensi. Tadi, Ketua Pengarah NADMA (Datuk Khairul Shahril Idrus) telah memberi taklimat kepada saya untuk meletakkan anggotanya di PPS,” katanya. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui pemberita pada program Mara Automotive Ecosystem (MATEC) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. 

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 6,588 orang setakat 2 petang berbanding 6,087 orang 8 pagi tadi.

Bercakap mengenai program Mara Automotive Ecosystem yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, Ahmad Zahid berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah membelanjakan sebanyak RM100 juta dalam bentuk geran dan pinjaman kepada usahawan dalam bidang automotif. 

Ahmad Zahid berkata program itu melibatkan seramai 4,000 usahawan daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari institusi Mara seperti Giat Mara, Institut Kemahiran Mara dan Universiti Kuala Lumpur. 

“Ini memperlihatkan kesungguhan Mara dalam tempoh beberapa dekad ini telah membuahkan hasil dan kita harap ia dapat diteruskan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan