AM > BERITA

PETRA Komited Transformasi Sektor Air Sebagai Hab Dinamik Ekonomi Negara

22/09/2024 02:04 PM

JOHOR BAHRU, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk melakukan transformasi sektor air termasuk mengadaptasikan teknologi pintar dan pendigitalan bagi memudahkan penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan air negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata justeru, PETRA memainkan peranan penting dalam memperkasakan tadbir urus air pada peringkat Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan ke arah pengurusan bersepadu bagi menjadikan bekalan air Malaysia sebagi hab dinamik yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa depan.

"Transformasi sektor air ke arah pengurusan lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi memudahkan kerjasama dengan kerajaan negeri. Hal ini penting untuk melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang baik," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab eksklusif Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS bersama Timbalan Perdana Menteri, Fadillah berkata sektor perniagaan perlu memanfaatkan dasar berkecuali negara melibatkan geopolitik antarabangsa. 

Beliau berkata sebagai sebuah negara perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu mengambil peluang menjalinkan kerjasama ekonomi dengan pelbagai blok negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, negara Eropah dan lain-lain.

"Kita berkawan dengan semua pihak pada peringkat global, tetapi bukan soal politik sebaliknya perdagangan dan ekonomi. Sebagai sebuah negara kecil, kita perlu kenal pasti kelebihan setiap negara dan adakan kerjasama demi manfaat dan kebaikan rakyat Malaysia. 

"Sebagai contoh Rusia, antara kekuatan mereka ialah sektor perubatan dan teknologi termasuk nuklear. Jadi, dengan hubungan baik kita dapat belajar bidang ini daripada mereka," katanya ketika menjawab soalan mengenai hasrat Malaysia menyertai BRICS walaupun mempunyai hubungan perdagangan erat dengan AS.

Pada Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, selari dengan usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dan mewakili suara ASEAN dalam forum global.

Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan hampir 400 pegawai agensi itu dari seluruh negara terlibat membincangkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran global.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 25 pemenang inovasi sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan