AM > BERITA

Tahanan Penjara Alor Setar Lulus Viva Sarjana UUM

22/09/2024 06:53 PM

ALOR SETAR, 22 Sept (Bernama) -- Walaupun berstatus tahanan penjara, ia tidak menghalang seorang lelaki untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM).

UUM dalam satu kenyataan memaklumkan penghuni Penjara Alor Setar berusia 34 tahun itu berjaya mempertahankan tesisnya dalam sesi viva yang dijalankan pada 18 Sept lepas, sekali gus membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai oleh tahanan sepertinya jika mempunyai iltizam untuk berjaya.

“Penjara banyak mengajar erti kehidupan dengan memberi peluang untuk saya menimba pelbagai ilmu dan bangkit untuk terus maju ke hadapan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk saya kembali belajar, begitu juga UUM, khususnya penyelia Prof Madya Dr Zulkiflee Daud dan Dr Mazli Mutazam yang sentiasa menyokong saya walaupun berada di dalam penjara,” katanya.

Sesi viva itu telah dipengerusikan oleh Prof Dr Hasnizam Shaari dari UUM, manakala pemeriksa tesis terdiri daripada Prof Madya Dr Hamran Mohamad dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Prof Madya Dr Abdul Sukor Shamsudin dari UUM.

Jabatan Penjara Malaysia sentiasa membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian lebih tinggi supaya penghuninya dapat mencorak masa depan lebih cerah apabila dibebaskan kelak, kata kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan