AM > BERITA

GISBH: Jabatan Mufti Selangor Bersidang 30 Sept

22/09/2024 08:37 PM

SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Mufti Negeri Selangor akan bersidang pada 30 Sept depan bagi memutuskan persoalan berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebelum keputusan berkenaan dibuat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membentangkan laporan berkaitan GISBH dalam mesyuarat MAIS pada 24 Sept ini. 

“MAIS mengambil serius berhubung perkara ini dan telah melaksanakan tindakan bersepadu bersama JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH dan rangkaiannya termasuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya.

“(Tindakan bersepadu ini) bagi memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dapat membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata MAIS menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mengambil tindakan serius berhubung isu yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya itu. 

Semalam, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan