AM > BERITA

Banci Pertanian 2024: 72,103 Kediaman Di Kelantan Selesai Dibanci - DOSM

22/09/2024 10:34 PM

GUA MUSANG, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menjalankan bancian terhadap 72,103 (82.3 peratus) tempat kediaman dan 246 (58.6 peratus) pertubuhan perniagaan yang terlibat aktiviti pertanian di Kelantan.

Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jajahan Gua Musang merekodkan peratus tempat kediaman pertanian paling tinggi iaitu 101.9 peratus diikuti Machang (101.3 peratus), Pasir Mas (96.1 peratus), Jeli (94.0 peratus), Pasir Puteh (92.2 peratus), Tanah Merah (91.3 peratus), Kuala Krai (80.5 peratus) dan Tanah Tinggi Lojing (75.6 peratus).

Beliau berkata bancian dilaksanakan secara menyeluruh meliputi masyarakat Orang Asli di Kelantan dan Pahang serta komuniti pribumi di Borneo. 

“Kita dapati masyarakat Orang Asli adalah antara komuniti paling dekat dengan pertanian malah hasil lawatan bancian mendapati terdapat kemajuan dalam kalangan komuniti itu dari segi penggunaan teknologi dalam pertanian. 

"Oleh itu, DOSM bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli di peringkat negeri dan daerah dalam usaha memperkasakan komuniti ini dalam sektor pertanian," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke perusahaan ikan kelah sempena Program Lawatan Kerja Pesuruhjaya Banci Pertanian di Negeri Kelantan di Lepan Jaya hari ini. 

Mohd Uzir berkata dengan adanya liputan di kebanyakan kawasan pedalaman, mereka dapat mengakses maklumat berkaitan malah mempunyai kecekapan dalam menentukan harga yang sesuai dengan hasil diperoleh. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan