AM > BERITA

Kerajaan Perlu Kemas Kini Garis Panduan AIGE Secara Berterusan

23/09/2024 11:37 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan digesa untuk sentiasa mengemas kini Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE), bagi memastikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kekal selamat dan relevan.

Timbalan Presiden Persatuan Pelbagai Internet (IoT) Malaysia Datuk P. Sri Ganes yang menyambut baik pelancaran AIGE pada 20 Sept berkata pelancaran itu, satu langkah ke hadapan dalam mewujudkan persekitaran AI yang beretika dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pengemaskinian AIGE itu perlu, memandangkan landskap AI yang berkembang pesat membawa cabaran baharu yang memerlukan pendekatan serta penyelesaian berbeza.

“Perkembangan pesat teknologi mencetuskan pelbagai cabaran yang mungkin di luar jangkaan. AI satu bidang dinamik yang merentasi sempadan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu memberi perhatian khusus kepada aspek perkongsian data yang telus dan inklusif.

“Rangka kerja perkongsian data merentasi pelbagai platform perlu bersifat telus dan inklusif, bagi menangani sebarang ketidaksengajaan dalam aplikasi AI,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melancarkan AIGE pada 20 Sept berkata garis panduan itu, bertujuan mewujudkan ekosistem penggunaan teknologi AI yang selamat dan beretika, selain menyediakan kerangka kerja untuk pengguna, penggubal polisi, serta penyedia teknologi AI.

Dalam pada itu, Sri Ganes turut menekankan kepentingan pembangunan bakat dalam memacu teknologi AI di Malaysia, dan mahu kerjasama antara kerajaan, pemain industri dan institusi akademik dipertingkatkan untuk memastikan inovasi yang didorong oleh AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ketiga-tiga komponen ini perlu bekerjasama untuk menggalakkan lebih banyak inovasi. Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna, tetapi perlu menghasilkan lebih banyak inovator dalam pelbagai sektor," katanya. 

Beliau juga mengingatkan bahawa pendekatan terhadap AI perlu kekal dinamik dan responsif terhadap kemajuan masa depan.

“Garis panduan ini sudah menyediakan asas yang kukuh, namun kita mesti bersedia menghadapi cabaran baharu agar manfaat teknologi ini dapat dinikmati semua,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan