AM > BERITA

Belanjawan 2025: Pertimbang Peruntukan Tambahan Naik Taraf Sistem MYeHALAL

23/09/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Peruntukan tambahan diperlukan dalam Belanjawan 2025 bagi menaik taraf Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL) sebagai usaha mempercepatkan proses permohonan dan pensijilan halal pada masa depan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pembangunan dan penambahbaikan sistem itu antara tumpuan yang dicadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mohd Na'im berkata beliau sendiri telah menyertai sesi libat urus bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan menyatakan pelbagai hasrat serta cadangan termasuk usaha menaik taraf MYeHALAL. 

“Seperti sekarang isu halal antara perkara yang dibangkitkan, justeru kami telah memohon pertimbangan bagi peruntukan tambahan untuk pembangunan sistem digital itu.

“Kementerian lain turut membawa hasrat masing-masing dan kita serahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan untuk menentukan dan meletakkan keutamaan dalam Belanjawan ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Tahun 2024M/1446H di sini hari ini. 

Beliau berkata dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan untuk pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam di negara ini iaitu meningkat berbanding RM1.5 bilion pada 2023. 

“Saya harapkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan terus memberikan perhatian kepada aspek pentadbiran Islam sekali gus memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan memiliki sijil halal.

Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" dijadual dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan