AM > BERITA

MOTAC Intai Kerjasama Lebih Erat Dengan OIC Promosi Pelancongan Mesra Muslim

23/09/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhasrat memperkukuh hubungan bersama negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mempromosikan ekosistem industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kerjasama erat bersama OIC akan membawa pulangan baik memandangkan gabungan itu mempunyai potensi besar dalam menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini.

"Hal ini penting kerana dianggarkan pasaran pelancongan mesra Muslim antarabangsa ini boleh mencecah US$228 bilion (US$1=RM4.20) menjelang 2028.

"Maknanya, ia (industri) yang cukup lumayan, jadi kita akan rugi dan terlepas sekiranya kita tidak memahami dan mempromosikan ekosistem pelancongan mesra Muslim yang ditawarkan di Malaysia," katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Dalam temu bual membincangkan mengenai Persidangan Pelancongan Islam Dunia (WITC) kali keempat yang berlangsung di Petaling Jaya pada 12 dan 13 Sept lepas, Khairul Firdaus berkata program itu telah berjaya merapatkan jaringan kerjasama semua pemain industri pelancongan Islam.

"WICT juga menarik minat pemain industri bukan Islam, banyak perkongsian kepakaran selain perbincangan menjurus kepada pendekatan terbaik dalam memahami citarasa pelancong Muslim dan diseimbangkan dengan usaha menarik pelancong bukan Islam," katanya.

Khairul Firdaus berkata ekosistem pelancongan mesra Muslim bukanlah menjurus kepada elemen dakwah mahupun menyentuh perihal syariah, sebaliknya lebih kepada menawarkan percutian kondusif meliputi kebersihan, kemudahan untuk menunaikan solat dan beribadah serta akses kepada makanan halal.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan