AM > BERITA

Universiti Malaya Bantu Nur Fatihah Capai Impian Lanjut Pengajian

23/09/2024 08:03 PM

TANAH MERAH, 23 Sept (Bernama) -- Hasrat Nur Fatihah Mohammad, 20, dari Kampung Pelain, Batu Gajah di sini untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tercapai apabila Universiti Malaya (UM) tampil membantu membiayai yuran pengajian dan kos penginapan. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM Prof Dr Zamri Radzi berkata anak sulung daripada empat beradik itu terpaksa menolak tawaran pihak UM sebelum ini berikutan masalah kewangan selain menetap bersama ibu angkat Nik Siti Rohaizan Nik Hashim, 44, selepas kematian kedua-dua ibu bapa. 

"Dia (Nur Fatihah) akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Geografi dan untuk tahun pertama ini pihak UM akan membiayai yuran pengajian dan kos penginapan asrama manakala tahun seterusnya kita akan lihat mana-mana biasiswa yang bersesuaian.

"Jika tiada biasiswa sesuai, UM akan terus menanggung pembiayaan itu malah akan diletakkan dalam senarai pelajar yang menerima bantuan sara diri sehingga tamat pengajian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan komputer riba serta wang tunai daripada Yayasan Perkasa Siswa di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi di rumahnya dekat Kampung Pelain, Batu Gajah di sini hari ini. 

Sementara itu, Nur Fatihah berkata akan menggunakan wang diterima sebaik mungkin untuk membeli kelengkapan diri dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu membolehkannya menyambung pengajian di universiti berkenaan.

"Setiap hari saya berdoa agar impian ke UM termakbul dan semalam saya dihubungi pihak UM yang memberitahu khabar gembira serta akan bantu saya melanjutkan pengajian ke sana.

"Jika tiada bantuan ini, sudah tentu saya terpaksa menolak tawaran kerana sebelum ini saya mempunyai wang tunai RM500 sahaja itu pun tidak mencukupi membayar yuran pendaftaran masuk ke universiti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan