AM > BERITA

MAIWP Sentiasa Komited Bantu Anak-anak Asnaf Dan Huffaz

23/09/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sentiasa komited dalam pembangunan pendidikan anak-anak asnaf dan golongan huffaz di Wilayah Persekutuan dengan menyediakan pelbagai skim bantuan yang kini memberikan manfaat kepada 80,059 pelajar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pihak MAIWP menyediakan 38 skim bantuan merangkumi kebajikan, pendidikan, keusahawanan dan perlindungan dari pusat asuhan hingga ke Institusi Pengajian Tinggi.

"Semua bantuan bertujuan memastikan setiap anak asnaf beroleh pendidikan berkualiti dan setakat ini MAIWP telah mengagihkan lebih RM735 juta bantuan melalui pelbagai skim kepada mereka yang memerlukan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan Tahun 2024/1446H di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata tahun ini, lebih RM3.13 juta diberikan kepada 698 pelajar cemerlang yang juga penerima Bantuan Am Persekolahan dan pelajar dari institusi MAIWP termasuk komputer riba, insentif tunai dan insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Mohd Na'im berkata seramai 529 peserta hafazan menerima insentif berjumlah lebih RM1.93 juta mengikut kategori hafazan dari juzuk satu hingga 30.

Beliau berkata MAIWP sentiasa mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dan golongan huffaz di Wilayah Persekutuan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Athirah Ramly, 20, ketika ditemui pada majlis hari ini berkata bantuan kewangan daripada MAIWP telah menyokong proses pembelajaran dan pendidikannya. 

“Saya dapat bantuan MAIWP sejak saya sekolah lagi. Mula-mula saya dapat bantuan dalam bentuk peralatan sekolah kemudian saya dapat bantuan bulanan untuk perbelanjaan.

“Bantuan ini sangat membantu sebab saya hanya bergantung dengan kakak kerana ibu telah meninggal dunia dan kakak yang mengurus segala bantuan ini,” katanya ketika ditemui di sini. 

Sementara itu, penerima Anugerah Huffaz Terbaik 2024 Ubaidullah Rusli, 26, menzahirkan kesyukuran sambil mengakui tidak pernah menyangka akan menerima penghargaan atas usaha dan dedikasi dalam melengkapkan hafazan. 

“Saya mula menghafal al-Quran sejak usia 14 tahun dan saya sangat bersyukur kerana diberikan kekuatan dan kesempatan untuk menghafal,” katanya.  

Ubaidullah berkata anugerah itu menjadi harapan dan tekad untuk terus menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat, menjadikan hafalan sebagai amalan lebih meluas dan disegani dalam kalangan generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan