AM > BERITA

HIKAM Sokong Kenyataan PM, Gesa Siasatan Menyeluruh Terhadap GISBH

23/09/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan menyeluruh terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dilaksanakan segera dengan telus dan adil.

HIKAM terdiri daripada Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

Menerusi kenyataan bersama, HIKAM menegaskan sekiranya benar kegiatan yang melanggar undang-undang negara itu berlaku, tindakan perundangan hendaklah disegerakan demi kebaikan semua pihak.

“HIKAM juga mengalu-alukan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar baru-baru ini supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISBH.

“Penting bagi kita untuk memastikan bahawa ajaran dan amalan Islam dipraktikkan dengan betul dan tidak diselewengkan," menurut kenyataan itu yang menambah HIKAM akan terus memantau perkembangan isu tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan keadilan serta kebenaran ditegakkan.

Menurut HIKAM, akidah umat Islam perlu dipelihara sejajar dengan Maqasid Syariah.

Pada 11 Sept lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak serta remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan