AM > BERITA

Minyak Masak Polibeg Bersubsidi Mencukupi Di Pulau Pinang

24/09/2024 10:49 AM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan minyak masak polibeg satu kilogram (1kg) bersubsidi di negeri itu mencukupi berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan dijalankan.

Pengarahnya S. Jegan berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan berkala secara harian dan mingguan di peringkat pengilang, pembungkus, pemborong dan juga peruncit bagi memantau keberadaan minyak masak polibeg itu di pasaran.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan, pengedaran minyak masak polibeg bersubsidi dari 1 hingga 20 Sept lepas adalah berjumlah 2,060,000 paket.

"KPDN negeri memandang serius isu kekurangan bekalan minyak masak polibeg di pasaran sepertimana telah dibangkitkan pengguna dan media. Kami telah menggerakkan 134 pegawai penguat kuasa seluruh Pulau Pinang bagi memantau serta menangani isu kekurangan bekalan tersebut.

"Bermula 1 Jan lepas hingga kini sebanyak 37,705 pemeriksaan telah dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negeri dan mendapati bekalan minyak masak polibeg mencukupi namun tidak dinafikan berlaku kekurangan bekalan disebabkan permintaan tinggi daripada pengguna serta pusingan jadual penghantaran daripada pihak pembekal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata berdasarkan kepada hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada peniaga mendapati tiada isu kekurangan bekalan terhadap minyak masak polibeg itu kerana peniaga menerima bekalan daripada pembekal mengikut tempahan.

Katanya, KPDN juga memberi amaran keras kepada semua peniaga agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan dan setakat ini pihaknya menerima 87 aduan berkaitan barang kawalan dengan lima kes membabitkan pembelian bersyarat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan