AM > BERITA

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Menara SSM Perak

24/09/2024 01:34 PM

IPOH, 24 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat merasmikan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak di Jalan Basco Kepayang, di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11 pagi itu, diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Kecil Tengah Raja Datuk Seri Iskandar Raja Zira.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Armizan dalam sembah ucapannya berkata mengikut statistik SSM, sehingga 31 Ogos sebanyak 61,692 syarikat telah diperbadankan dan 795,350 perniagaan serta 1,073 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) daripada negeri Perak telah didaftarkan dengan SSM.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 26,127 syarikat, 150,397 perniagaan dan 972 PLT adalah aktif.

“Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun di Malaysia, patik yakin bahawa angka ini akan terus meningkat pada masa hadapan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi ke tahap lebih tinggi, bagi mencapai sasaran dan aspirasi Kerajaan Negeri Perak serta negara,” katanya.

Armizan berkata menara SSM Perak yang mula beroperasi pada tahun 2021 itu, berkeluasan 175,853 kaki persegi dan lengkap dengan pelbagai prasarana serta infrasruktur seperti parkir, kedai serbaneka, kafe dan surau, selain kawalan keselamatan 24 jam.

Pejabat SSM Perak dengan 49 warga kerja, menawarkan perkhidmatan di tingkat bawah menara 10 tingkat ini.

“Dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan di Perak, SSM turut menjana pendapatan dengan menyewakan tingkat-tingkat lain di menara ini.

“Setakat ini, terdapat dua jabatan yang turut beroperasi di Menara SSM Perak iaitu Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta Negeri Perak (JPPH),” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata kewujudan bangunan milik SSM di negeri Perak bukan sahaja selari dengan visi SSM untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terunggul, tetapi juga memperkukuh komitmen SSM dalam menyokong perkembangan komuniti perniagaan tempatan.

Beliau berkata menara SSM Perak mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan  serta kemudahan yang disediakan kepada pelanggan, menjadikannya sebagai pusat utama untuk keperluan entiti-entiti perniagaan di negeri ini.

“Ia juga merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat, khususnya dalam hal-hal berkaitan pendaftaran entiti perniagaan, pematuhan undang-undang syarikat dan pelaksanaan amalan korporat yang telus dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha gigih kerajaan untuk memastikan setiap aspek pengurusan entiti perniagaan dijalankan dengan penuh berintegriti dan berkesan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan