EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN BERSIH SCIENTEX MELONJAK KEPADA RM545.21 JUTA, UMUM DIVIDEN 6 SEN

24/09/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih Scientex Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 melonjak 24.4 peratus kepada RM545.21 juta daripada RM438.14 juta yang dicatatkan pada tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat 9.8 peratus kepada RM4.47 bilion berbanding RM4.08 bilion sebelumnya.

Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan, mengaitkan prestasinya yang lebih baik berikutan permintaan kukuh dalam bahagian hartanah, yang menyaksikan peningkatan 29.7 peratus dari tahun ke tahun dalam hasil kepada RM1.9 bilion.

"Ini disokong oleh jualan yang lebih tinggi, kadar pengambilan yang memberangsangkan membabitkan pelancaran hartanah baharunya serta kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek yang sedang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Bahagian pembungkusan turut menyumbang kepada keputusan positif, mengekalkan hasil stabil sebanyak RM2.6 bilion walaupun berdepan dengan landskap global yang mencabar.

Untuk suku keempat, Scientex mencatatkan keuntungan bersih RM135.86 juta di atas perolehan sebanyak RM1.17 bilion, masing-masing meningkat daripada RM114.89 juta dan RM1.07 bilion, berbanding suku yang sama tahun lepas.

Scientex telah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak enam sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, sementara menunggu kelulusan pada mesyuarat agung tahunan akan datang.

“Digabungkan dengan dividen interim enam sen yang dibayar pada 19 Julai 2024, anggaran pembayaran dividen mencecah RM186.2 juta, mewakili 34.1 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan pada tahun kewangan 2024,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Peng Jin ketika mengulas mengenai prospek tahun kewangan akan datang berkata kumpulan komited untuk mengekalkan prestasi walaupun menghadapi cabaran berterusan dalam pasaran pembungkusan global.

“Fokus kami adalah pada kecekapan operasi, pengurusan kos termasuk pembangunan inovatif dan penyelesaian pembungkusan mampan yang akan membolehkan kami menangani cabaran-cabaran ini.

“Dalam bahagian hartanah, permintaan yang konsisten untuk rumah mampu milik memberikan peluang yang menarik di hadapan, yang akan terus kami manfaatkan melalui pengambilan tanah dan pelancaran projek baharu,” katanya.

Sehingga kini, Scientex telah menyampaikan hartanah bernilai RM10.4 bilion, dengan projek dalam tangan bernilai RM4.2 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan