AM > BERITA

Kerajaan Johor Bincang Dengan KPKT Kenal Pasti Lokasi Projek Perumahan Madani

24/09/2024 08:07 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor telah berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan projek perumahan baharu MADANI di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata cadangan Perumahan MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik kerajaan negeri dalam usaha bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman.

“Perumahan MADANI ini ialah tambahan daripada inisiatif sedia ada (di Johor) dan sudah tentu bagi peringkat kerajaan negeri kita mengalu-alukan cadangan untuk menambah kuantiti rumah di Johor dan tentulah usaha itu sangat baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Synergistic Government-University-Community-Industry (GUCI) Sustainable Collaboration 2024 di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyasarkan unuk membina 30,000 unit rumah mampu milik dari 2022 hingga 2026.

“Dasar perumahan Johor juga memang mewajibkan untuk pemaju perumahan (mematuhi) dasar 60-40. Sebanyak 60 peratus kita serahkan kepada pemaju untuk buat pembangunan dengan nilai harga lebih tinggi, tetapi 40 peratus disyaratkan untuk mengikut dasar perumahan Johor iaitu rumah di bawah RM300,000,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan projek perumahan baharu perlu menyediakan blok perumahan MADANI bagi memastikan golongan bukan sahaja penjawat awam, tetapi juga kelompok B40 dan M40 yang lebih susah dapat memiliki kediaman.

Anwar dilaporkan berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan sekali gus memanfaatkan rakyat.

Baru-baru ini, Anwar secara terbuka telah menyelar sikap sesetengah pihak yang membantah pembinaan projek perumahan rakyat bagi kumpulan B40 dan M40 yang merupakan golongan majoriti khususnya di ibu negara.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pembangunan di kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabaikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan