EKONOMI > BERITA

MAGMA CADANG KURANGKAN MODAL, PINDA PERLEMBAGAAN KUMPULAN

24/09/2024 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Magma Group Bhd (dikenali Impiana Hotels Bhd sebelum ini) mengemukakan cadangan bagi mengurangkan modal sahamnya mengikut Seksyen 116 Akta Syarikat, 2016. 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata cadangan berkenaan membolehkannya merasionalkan penyata kedudukan kewangan dengan menghapuskan kerugian terkumpul. 

Pada masa sama, ini akan mencerminkan nilai aset asas dan kedudukan kewangan syarikat dengan lebih tepat.

Magma Group turut mencadangkan untuk mengambil alih tanah pegangan pajakan seluas 0.91 hektar di Persiaran Dutamas, Kuala Lumpur daripada Skyload Express Sdn Bhd pada harga RM80 juta.

Pembelian itu akan dilakukan menerusi Magma Kiara Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Magma Property Sdn Bhd yang jujga anak syarikat milik penuh kumpulan itu.

Jumlah pertimbangan pembelian akan ditampung menerusi gabungan pembayaran tunai sebanyak RM8 juta, terbitan 120 juta saham pada harga terbitan RM0.20 sesaham dan terbitan 47,712,000 saham keutamaan tidak boleh tukar (RPS) baharu yang boleh ditebus pada harga terbitan RM1.00 setiap RPS.

“Cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan bagi pengembangan perniagaan pembangunan hartanahnya dengan memperoleh simpanan tanah tambahan di lokasi strategik dengan potensi pertumbuhan dibangunkan pada masa depan," katanya. 

Selain itu, turut dicadangkan adalah pindaan perlembagaan Magma untuk memudahkan pengeluaran RPS di bawah cadangan pengambilalihan itu. 

Tanah berkenaan dirancang bagi pembangunan dua blok bangunan 34 tingkat merangkumi unit pangsapuri perkhidmatan 22 tingkat, tempat letak kereta bawah tanah satu tingkat, kawasan komersial dua tingkat, ruang letak kereta lapan tingkat, kawasan kemudahan satu setengah tingkat, taman atas bumbung dan dewan komuniti satu tingkat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 

Kos pembangunan kasar tanah berkenaan adalah RM249.60 juta dan dijangka menjana anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM439.86 juta daripada cadangan itu.

Setakat ini, jangkaan tempoh permulaan dan penyiapan pembangunan yang dicadangkan masih belum ditentukan, kata Magma Group.

Lembaga Pengarah menjangkakan cadangan itu dapat disiapkan menjelang suku pertama 2025, kecuali berlaku keadaan di luar jangka selain turut menerima semua kelulusan yang diperlukan.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan