AM > BERITA

Shazryll Zahiran Zahir Harapan Hubungan Diplomatik Malaysia-Bahrain Terus Kukuh

24/09/2024 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Bahrain Shazryll Zahiran menzahirkan harapan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bahrain yang kini berada pada tahap tertinggi.

Katanya sewaktu Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Raja Bahrain Sheikh Hamad Isa Al Khalifa, merupakan seorang daripada dua tetamu diraja luar negara yang diundang ke istiadat itu di samping Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Resepsi Hari Kebangsaan 2024 anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Manama, Bahrain.

Turut hadir wakil Kementerian Luar Negeri Bahrain Dr Isa Nasser Al Nuaimi.

Isa dalam ucapan balasnya turut menzahirkan keakraban Bahrain dan Malaysia selama ini dan turut berkongsi aspirasi yang sama agar hubungan diplomatik dua hala akan terus diperkukuh demi kebaikan dan pembangunan kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Manama berkata seramai 350 jemputan telah menghadiri Resepsi Hari Kebangsaan 2024 itu.

Para jemputan terdiri daripada ahli parlimen Bahrain, pegawai kanan kerajaan, duta asing, wakil syarikat terkemuka Bahrain, rakan strategik Kedutaan Besar Malaysia serta warga Malaysia yang menetap di Bahrain.

Majlis berkenaan bukan sahaja bermakna dalam memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 malah ia juga merupakan sambutan yang penting bagi Malaysia dan Bahrain yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan