AM > BERITA

Gaji Premium Lepasan TVET Tangani Kekurangan Tenaga Mahir - NGO

24/09/2024 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Penetapan gaji premium lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada kadar RM2,500 hingga RM4,000 akan memberi implikasi positif termasuk menangani isu kekurangan tenaga mahir terhadap pelbagai sektor dan industri dalam negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan berkata langkah itu juga boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan TVET kerana gaji premium akan memotivasikan pelajar dan institusi mengutamakan kecemerlangan dalam latihan kemahiran.

“Selain itu, gaji premium ini akan meningkatkan persepsi (positif terhadap) pekerjaan teknikal dan vokasional, menonjolkan nilai dan kepentingan pekerja mahir dalam pasaran kerja yang kompetitif.

“Dengan mengiktiraf dan ganjaran kepakaran yang diperoleh melalui program TVET, majikan bukan sahaja menarik bakat terbaik, tetapi juga menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Rizan berkata institusi latihan TVET awam dan swasta juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan lulusan itu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memperoleh pekerjaan bergaji tinggi dalam pasaran kerja kompetitif hari ini.

Mohammad Rizan berkata majikan sentiasa mencari calon terlatih yang boleh menyumbang secara berkesan kepada organisasi mereka.

Beliau berkata langkah-langkah jaminan kualiti dalam institusi TVET termasuk pembangunan kurikulum yang sejajar dengan keperluan industri, ahli fakulti berpengalaman, kemudahan latihan terkini dan perkongsian industri untuk peluang latihan secara langsung perlu diberi perhatian.

Katanya, pelajar dan majikan masing-masing mendapat manfaat daripada situasi menang-menang, dengan graduan diberi ganjaran gaji premium dan industri memperoleh profesional mahir untuk memacu pertumbuhan dan inovasi.

Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) semalam bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan TVET.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penetapan kadar gaji itu melebihi pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini bertujuan menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan