AM > BERITA

KDN Nafi Laporan Pasukan Petugas Khas Kes Pastor Raymond Koh Diubah

24/09/2024 09:45 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh yang dikemukakan kepada keluarga dan peguam telah diubah.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Laporan Pasukan Petugas Khas ialah dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).

"Laporan yang dikemukakan kepada pihak keluarga dan barisan peguam Pastor Raymond Koh ialah laporan asal tanpa diubah serta dicetak atas kertas bertanda (watermark).

"Penggunaan kertas bertanda adalah bagi membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti pemilikan dokumen sekiranya berlaku penyebaran dokumen terbabit," menurut KDN.

Kementerian itu menjelaskan perkara berkenaan telah diteliti bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi memastikan keselamatan Laporan Pasukan Petugas Khas terpelihara.

KDN memaklumkan kementerian mengemukakan salinan laporan berkenaan tanpa kertas bertanda kepada pihak keluarga dan barisan peguam keluarga Pastor Raymond Koh berdasarkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 Sept.

Semalam, satu laporan sebuah portal bertajuk Task Force Report On Pastor Koh Tampered With, Lawyer Claims menyatakan dakwaan peguam keluarga Pastor Raymond Koh bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas yang dikemukakan kepada pihak keluarga dan barisan peguam telah diubah.

Pada 2019 kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat kes Pastor Raymond Koh yang diculik pada 2017 dan seorang lagi aktivis sosial Amri Che Mat yang hilang pada 2016.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan