AM > BERITA

KPJ Healthcare, Mayo Clinic Bekerjasama Anjur Forum Neurologi

24/09/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dengan kerjasama Mayo Clinic menganjurkan Forum Neurologi khusus di Hospital Pakar KPJ Damansara hari ini.

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan forum itu menumpukan kepada gangguan pergerakan khususnya penyakit Parkinson (PD) dan menghimpunkan pakar neurologi, profesional penjagaan kesihatan dan pakar terkemuka bagi membincangkan kemajuan rawatan terkini dan berkongsi pandangan klinikal.

Kenyataan itu memberitahu menurut Yayasan Parkinson, lebih 10 juta orang di seluruh dunia hidup dengan PD, satu gangguan yang dicirikan oleh masalah gegaran, kekakuan dan masalah keseimbangan terutamanya dalam kalangan warga emas.

Kira-kira satu peratus daripada orang yang berusia 60 tahun ke atas dan hampir empat peratus daripada mereka yang berumur 80 tahun ke atas didiagnosis dengan penyakit itu.

Forum itu menampilkan penceramah terkenal termasuk Dr James Bower dari Mayo Clinic, Pakar Perunding Neurologi KPJ Damansara Dr Azmi Abdul Rashid, Pakar Perunding Geriatrik KPJ Damansara Dr Nordiana Nordin, Pakar Perunding Radiologi KPJ Damansara Dr Nurhayati Mokhty, Pakar Perunding Neurologi Hospital Pakar Damansara 2 Dr Teh Pei Chiek dan Ketua Perkhidmatan Rehabilitasi KPJ Damansara Dr Parwathi Alagirisamy.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata forum itu adalah antara inisiatif bertujuan meningkatkan standard penjagaan bagi pesakit yang menghidapi keadaan neurologi, memastikan pesakit mendapat manfaat daripada kemajuan perubatan global terkini.

"Kerjasama strategik dengan Mayo Clinic membolehkan kami terus meningkatkan kepakaran klinikal. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan pesakit PD diunjurkan meningkat daripada 20,000 orang pada 2018 kepada 120,000 orang menjelang 2040.

"Hal ini menggariskan kepentingan melengkapkan profesional penjagaan kesihatan kami dengan pengetahuan dan pilihan rawatan terbaik untuk menguruskan kesan gangguan neurologi," katanya.

Menurut kenyataan itu, KPJ Damansara dan Hospital Pakar Damansara 2 ialah satu-satunya hospital di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada Rangkaian Penjagaan Mayo Clinic.

Kerjasama ini memberikan pasukan perubatan KPJ akses terus kepada kepakaran dan pengetahuan meluas Mayo Clinic, memastikan pesakit Malaysia mendapat faedah daripada standard tertinggi dalam penjagaan berpusatkan pesakit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan