AM > BERITA

Wacana NICTSeD 2024 Didik Komuniti Sekolah Jadi Pengguna Internet Bijak

24/09/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan (NICTSeD) yang diselaraskan oleh CyberSecurity Malaysia dapat memberi pendedahan kepada komuniti sekolah khususnya pelajar dan guru untuk menjadi pengguna Internet yang bijak serta berilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pertandingan berkonsepkan wacana melibatkan sekolah menengah di seluruh Malaysia itu juga membantu golongan berkenaan mengenal pasti dan berupaya mengatasi cabaran serta risiko semasa melayari Internet.

“Selaras dengan Dasar Pendidikan Malaysia 2013-2025, NICTSeD merupakan satu inisiatif tahunan yang diselaraskan oleh pihak kami melalui program ‘CyberSAFE® in School’ bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital negara.

“Program ini menyasarkan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima sebagai usaha untuk menggalakkan pemikiran kritis serta kreatif berkaitan isu-isu keselamatan siber, penggunaan Internet dan teknologi semasa,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang NICTSeD ke-11 di Angkasapuri di sini hari ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan dengan sokongan Kementerian Digital.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Pahang dinobatkan juara NICTSeD: Piala Cabaran CYBERSAFE 2024 selepas membentangkan hujah berkaitan keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), dengan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM5,000 serta sijil penyertaan.

SMK Tinggi Batu Pahat, Johor pula meraih tempat kedua diikuti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka di tempat ketiga, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,500 beserta sijil penyertaan.

Pelajar SMK Alor Akar, Kuantan, Pahang, Arjun Jaya, 17, berkata penyertaan dalam NICTSeD memberikannya pengetahuan berkaitan keselamatan siber.

"Ini kali ketiga saya menyertai NICTSeD dan pertandingan ini sememangnya mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai keselamatan siber dan Internet," katanya.

Seorang lagi pelajar Mohamad Irfan Zulkifli, 15, berkata pertandingan seumpama itu dapat meningkatkan keyakinan dirinya dalam memberikan pandangan di hadapan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan