AM > BERITA

Pokok Sagu Penting Untuk Kelestarian Alam Sekitar - Abang Johari

24/09/2024 11:39 PM

KOTA SAMARAHAN, 24 Sept (Bernama) -- Pokok sagu memainkan peranan penting dalam kelestarian alam sekitar dan sesuai untuk memulihkan tanah gambut yang degradasi dan tidak terurus, menjadikannya komponen utama dalam mengurangkan perubahan iklim, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bercakap pada majlis makan malam gala Simposium Sagu Antarabangsa ke-15, beliau menyifatkan pokok sagu sebagai satu-satunya tanaman kanji yang mampu tumbuh subur dalam keadaan ekstrem. Daya tahan ini menjadikan tumbuhan itu tanaman yang sesuai bagi kawasan mudah banjir, menawarkan penyelesaian mampan untuk pertanian di kawasan terbabit.

"Pokok sagu bukan sahaja mengasingkan karbon dioksida, tetapi juga akarnya yang menjalar di udara mempunyai keupayaan unik untuk membaiki nitrogen. Sifat luar biasa itu menggalakkan pertumbuhan tanaman dan menyumbang kepada kesihatan ekosistem secara keseluruhan," katanya.

 Selain kelebihan alam sekitar, Abang Johari turut menekankan potensi ekonomi sagu yang mempunyai pelbagai aplikasi merentasi industri, daripada penghasilan makanan kepada pembungkusan biodegradasi, makanan haiwan, baja bio dan bahan api bio.

Beliau berkata dengan peningkatan permintaan untuk produk semula jadi dan bebas gluten, sagu semakin popular dalam kalangan pengguna yang mementingkan kesihatan dan menjadi pilihan di pasaran antarabangsa.

Bagi peringkat global, Abang Johari berkata penanaman sagu meliputi 2.5 juta hektar dengan 92 peratus terletak di Indonesia dan Papua New Guinea. Sarawak menyumbang 2.5 peratus daripada jumlah itu, dengan 62,000 hektar tanaman.

"Sarawak menubuhkan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah untuk memperkukuh industri berkenaan. Tujuannya bagi memodenkan pengeluaran, mempromosikan mekanisasi dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sambil menyokong ekonomi hijau Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan