AM > BERITA

Musa Hitam Dilantik Menteri Darjah (Chancellor) Baharu Bagi Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia

25/09/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam sebagai Menteri Darjah (Chancellor) yang baharu bagi Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Musa adalah untuk tempoh tiga tahun mulai 13 Sept 2024 hingga 12 Sept 2027.

“Pelantikan ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, bagi memastikan urusan menandatangani watikah-watikah kurniaan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota di bawah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Musa memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Julai 1981 sehingga Mac 1986.

Beliau juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Pengerusi Sesi ke-51 dan ke-52 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB dan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia.

Pengerusi Emeritus United Malayan Land Bhd itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby Berhad dan Kumpulan Guthrie.

Jawatan Menteri Darjah tidak berstatus menteri dan tugas beliau hanya menandatangani watikah bagi setiap darjah kebesaran, pingat dan bintang untuk memastikan ketulenannya.

Setiap watikah perlu ditandatangani oleh dua pihak iaitu Pendaftar Darjah dan Menteri Darjah, sebelum ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jawatan Menteri Darjah tidak berstatus menteri dan tugas beliau hanya menandatangani watikah bagi setiap darjah kebesaran, pingat dan bintang untuk memastikan ketulenannya.

Setiap watikah perlu ditandatangani oleh dua pihak iaitu Pendaftar Darjah dan Menteri Darjah, sebelum ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan