PENJENAYAH DIKEHENDAKI DITEMBAK MATI SELEPAS ANCAM POLIS

25/09/2024 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki ditembak mati selepas bertindak merempuh kereta dinaiki polis di Kampung Kundang Rawang, Gombak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan risikan bagi mengesan suspek terlibat kes pecah kedai di Damansara, terserempak kereta jenis Nissan Grand Livina dipandu suspek di sebuah jalan sehala.

“Suspek enggan memberhentikan kereta, sebaliknya mengundurkan kenderaan itu dengan laju dan sangat berbahaya lalu merempuh kereta dinaiki polis dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri dan suspek terkena tembakan itu mengakibatkan kereta dipandunya terbabas serta suspek disahkan maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hussein berkata suspek berusia lewat 30-an itu didapati mempunyai 26 rekod lampau iaitu 17 rekod jenayah dengan 10 daripadanya membabitkan kesalahan pecah rumah atau kedai manakala sembilan rekod berkaitan dadah.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati pernah dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 (d) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Polis merampas sejumlah peralatan disyaki untuk pecah rumah di dalam kereta suspek termasuk tiga parang, pemotong besi, kapak dan kuku kambing manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan