AM > BERITA

Perjuangan Isu Palestin Perlu Penglibatan Belia - Nurul Izzah

28/09/2024 04:45 PM

KUALA LANGAT, 28 Sept (Bernama) -- Perjuangan isu Palestin memerlukan penglibatan lebih ramai golongan belia di negara ini sepertimana solidariti yang ditunjukkan anak muda di luar negara.

Mengambil contoh United Kingdom dan Amerika Syarikat, Penasihat Kehormat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Nurul Izzah Anwar berkata sokongan anak muda di kedua-dua negara itu terhadap isu Palestin jelas menunjukkan mereka telah terbuka minda untuk melihat bahawa Israel tidak ada hak untuk meneruskan pelanggaran hak kemanusiaan.

"Mereka juga mempertahankan hak Palestin untuk terus hidup, dilindungi dan diberikan status setimpal.

“Golongan belia (di negara ini) perlu menjadi penggerak dan pelopor utama dalam menghebahkan maklumat terkini bagi memperjuangkan isu Palestin yang telah lama berlarutan. Mereka boleh menyampaikan maklumat dalam bentuk paling menarik dan informatif menerusi platform media sosial,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Persidangan Belia dan Keamanan Global untuk Palestin (GYPC) 2024 yang dirasmikan Pengerusi Misi Keamanan Global Dr Jufitri Joha di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman pula berkata persidangan itu menjadi platform untuknya meningkatkan kefahaman peserta mengenai isu Palestin.

"Saya menyampaikan tentang aspek kesukarelawanan untuk meningkatkan semangat mereka yang hadir khususnya dalam kalangan remaja supaya mengetahui bahawa mereka mampu melakukan perubahan walaupun hanya seorang individu.

"Di Malaysia, mereka mempunyai peluang sangat besar dan boleh melakukan kerja-kerja kemanusiaan dan negara kita menyokong atas dasar kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, Jufitri berkata persidangan yang berlangsung selama dua hari dihadiri lebih 600 peserta.

"Hari ini merupakan kemuncak program yang mana lebih kepada perkongsian untuk memberikan motivasi dan semangat kepada belia dan rakyat Malaysia supaya meneruskan momentum ini dengan pelbagai cara yang kreatif dan inovatif terutama dengan menggunakan media digital untuk menyebarkan kesedaran.

"Kita juga membawa Perenang Olimpik Palestin, Yazan Al-Bawwab untuk berkongsi pandangan," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan