AM > BERITA

Pastikan DUN Mahkota Dapat Wakil Rakyat Mampu Berkhidmat - Nurul Izzah

24/09/2024 10:36 PM

KLUANG, 24 Sept (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu memastikan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mendapat seorang wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka. 

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata disebabkan itu, fokus jentera mereka ialah bekerja sebaik-baiknya untuk membantu memenangkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan.

“Kami daripada PKR dalam siri bertemu dan menziarahi pengundi DUN Mahkota dan lebih-lebih lagi (kunjungan ini) untuk mengingatkan mereka tentang hari pengundian agar (pengundi) beri undi dan menangkan calon BN kerana penting mendapat perwakilan yang mampu berkhidmat. 

“Saya datang sini dengan semangat setia kawan dan persahabatan. Kami mahu memastikan bahawa kami mendapat sokongan padu (daripada pengundi). Pertama sekali, kami berada di medan perang dan kami mahu menang dan meyakinkan pengundi untuk mereka memberikan sokongan penuh,” katanya.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berkata demikian semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di Taman Ilham di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Selain itu, Nurul Izzah juga merayu kepada semua pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada 28 Sept ini, kerana setiap undi berharga dalam pilihan raya. 

“Tolong berikan undi anda dan insya-Allah kami akan berkhidmat dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Kami sentiasa cuba meningkatkan perkhidmatan demi rakyat Johor dan kita hendak pastikan ada kesinambungan yang berterusan,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan