AM > BERITA

81 Perusahaan Disyaki Terlibat Kartel Umrah, Dikenakan Penalti Kewangan - MyCC

30/09/2024 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 81 perusahaan kerana dipercayai terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

“Melalui penyiasatan pada peringkat keputusan cadangan ini, MyCC mendapati kesemua perusahaan ini yang merupakan ahli persatuan berdaftar di Malaysia, bersetuju menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023.

“MyCC juga mendapati bahawa persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka,” katanya.

Antara perusahaan terlibat termasuk GISB Travel & Tours Sdn Bhd, Abeel Travel & Services Sdn Bhd, Abu Rizki Travel & Tours Sdn Bhd, Afiq Travel & Tours Sdn Bhd dan Ajua Travel & Tours Sdn Bhd.

Mohd Hishamudin menjelaskan keputusan cadangan dikeluarkan MyCC adalah dapatan awal, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta Persaingan 2010 pada tahap ini.

Beliau berkata seperti diperuntukkan dalam akta berkenaan, semua perusahaan yang dinamakan dalam keputusan cadangan itu telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan MyCC.

“Perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.

“Selepas itu, mereka juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada MyCC pada tarikh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan terlibat bersama bukti yang diperoleh semasa proses penyiasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan