AM > BERITA

UTeM Salur Enam Pakej Bantuan Kepada Nurul Balqish Sambung Belajar

25/09/2024 03:27 PM

MELAKA, 25 Sept (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyalurkan enam pakej bantuan komprehensif kepada Nurul Balqish Hairulnizam, 22, pelajar yang kesempitan hidup untuk menyambung pengajiannya di universiti itu.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata ia terdiri daripada Biasiswa Derma Siswa B40 TVET, bantuan wang tunai RM1,500 bagi kegunaan persiapan awal memulakan pengajian, selain komputer riba.

“UTeM turut menyampaikan bantuan Bank Makanan dan menawarkan kemudahan asrama kepada Nurul Balqish bermula dari semester satu hingga tamat pengajian.

"UTeM sentiasa prihatin dan sedia membantunya bagi memastikan beliau memulakan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan yang ditawarkan kepadanya di universiti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pakej bantuan itu disampaikan menerusi kunjungan wakil UTeM iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif bersama Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) Profesor Dr Hambali Arep@Ariff di rumah Nurul Balqish di Pontian, Johor.

Massila berkata UTeM sentiasa proaktif dalam memberikan keutamaan kepada penjagaan kebajikan pelajarnya terutama daripada golongan memerlukan.

"Nasib Nurul Balqish mendapat perhatian UTeM kerana kehidupannya yang susah dan tidak mampu menyambung pengajian berikutan ibunya yang juga seorang ibu tunggal hanya bekerja mengambil upah mengasuh anak orang selain adiknya yang masih bersekolah.

“Kesempitan hidup bukanlah penghalang untuk melanjutkan pengajian di UTeM kerana dengan pendidikan tinggi inilah yang akan menjadi jambatan untuknya mengubah nasib keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Massila turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi di atas keprihatinan kepada kebajikan pelajar UTeM menerusi Pegawai Tugas-tugas Khasnya Salahuddin Saufry Hamzah yang secara langsung membuat panggilan video dengan memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada Nurul Balqis untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan