AM > BERITA

Komuniti Orang Asli Kuala Betis Mohon Mesin ATM Disediakan

30/09/2024 09:35 PM

GUA MUSANG, 30 Sept (Bernama) -- Komuniti Orang Asli memohon agar disediakan mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis bagi memudahkan urusan perbankan mereka di sini. 

Siti Nornadia Kamarzaman, 37, berkata penyediaan kemudahan berkenaan amat dinanti-nantikan masyarakat itu yang dianggap akan menjimatkan kos mereka untuk ke bandar. 

“Kami mohon untuk disediakan ATM dan CDM di sini kerana Kuala Betis adalah pintu masuk dan keluar penduduk Orang Asli di penempatan pedalaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri. 

“Jadi perjalanan mereka pun lebih pendek kerana penduduk dari Pos Hau, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Bihai, Pos Simpor dan Pos Gob perlu keluar dengan menunggang motosikal lebih 70 kilometer untuk ke bandar Gua Musang,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Turut senada, Norasyikin Uda, 46, berkata tidak semua penduduk memiliki kenderaan sendiri dan mereka terpaksa menyewa kereta dengan tambang sekitar RM50 untuk keluar masuk ke bandar.  

“Kebanyakan penduduk di kawasan ini tiada pilihan, selain terpaksa membayar tambang perjalanan yang sepatutnya digunakan menampung keperluan asas keluarga," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati sehingga kini penduduk terpaksa ke kemudahan bank yang terdekat di bandar Gua Musang dengan jarak 40 minit perjalanan untuk membuat pengeluaran dan urusan deposit tunai. 

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata keperluan itu telah dikaji dan pihaknya akan berusaha menyediakan mesin ATM bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan RPS Kuala Betis dan Tanah Tinggi Lojing.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan