AM > BERITA

Persatuan Kaligrafi Cina Sibu Anjur Karnival Seni Perpaduan Dua Hari 19 Okt Ini

03/10/2024 04:13 PM

SIBU, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan Kaligrafi Cina Sibu akan menganjurkan Karnival Kesenian Perpaduan 2024 di Hotel TH di sini pada 19 dan 20 Okt ini, acara kebudayaan bagi meraikan kekayaan kepelbagaian budaya Sarawak dan tradisi artistik.

Karnival itu akan mengetengahkan keindahan perpaduan melalui paparan seni, dengan membawa komuniti untuk bersama menghargai kaligrafi Cina dan Arab, di samping menampilkan persembahan-persembahan kebudayaan untuk diraika bersama.

Presiden Persatuan Kaligrafi Cina Sibu, Hii Pee Long berkata acara itu ditaja oleh oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak dengan dibiayai Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, selain disokong Perpustakaan Negeri Sarawak cawangan Sibu, Hotel RH dan Yayasan Pusat Hidayah.

"Tema tahun ini, ‘Meraikan Perpaduan Melalui Seni” memfokuskan kepada keharmonian gabungan kaligrafi Cina dan Arab, dengan membawa simbol bagaimana tradisi berbeza boleh saling wujud dan saling memperkaya satu sama lain. 

"Acara ini akan menyediakan peluang unik kepada masyarakat untuk berhimpun, berkongsi tradisi dan menerokai kekayaan tradisi, kesenian dan makanan warisan, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kemuncak acara adalah Pertandingan dan Pameran Kaligrafi China dan Arab, Persembahan Kebudayaan, Bazaar Malam, Konsert Muzik Fusion selain Bengkel Artis.

Bagi pertandingan kaligrafi, Hii berkata artis kaligrafi berbakat dari seluruh Sarawak akan mempamerkan kemahiran dengan setiap peserta bertanding dalam kategori terbuka, sekolah menengah dan kategori bukan Cina.

 Beliau berkata kemasukan adalah percuma dan maklumat lanjut mengenai program boleh diperoleh dengan melayari  https://unityartscarnival.com/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan