AM > BERITA

Belanjawan 2025: Persatuan Batik Mohon Kerajaan Sediakan Geran Baik Pulih Bengkel

03/10/2024 05:21 PM

KOTA BHARU, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan Pembatik Melayu Pantai Timur memohon kerajaan menyediakan geran membaik pulih bengkel atau kilang batik yang telah usang kepada pengusaha batik di Kelantan menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Yang Dipertua persatuan itu Kamarul Zaman Mohd Salleh berkata masalah bengkel atau kilang uzur itu telah lama berlaku sejak beberapa tahun lepas dan mendatangkan kerugian kepada pengusahanya.

Beliau berkata persatuan ini memohon geran daripada kerajaan bagi membantu ahli yang kilang mereka mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kami mencadangkan anggaran kos RM500,000 bagi kerja pembaikan berdasarkan rekod 100 ahli aktif berdaftar dengan jumlah keseluruhan ahli 350 orang.

"Kebanyakan pengusaha batik terjejas ekoran bengkel atau kilang batik mereka diperbuat daripada kayu yang mudah reput setelah ditenggelami banjir, bumbung tercabut semasa ribut, malah ada yang ditutup terus semasa wabak COVID-19 melanda negara ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kamarul Zaman berkata masalah terbabit dialami ramai pengusaha batik di setiap daerah di negeri berkenaan.

Beliau berkata peruntukan itu penting memandangkan permintaan terhadap batik asli adalah tinggi berikutan dasar kerajaan mewajibkan penjawat awam berpakaian batik Malaysia pada setiap Khamis berkuat kuasa 21 Ogos tahun lepas.

"Kami memerlukan bangunan yang diperbuat daripada konkrit dan bumbung daripada bahan lebih kukuh memandangkan kayu tidak kekal dan mudah rosak akibat cuaca.

"Bengkel atau kilang yang tiada bumbung boleh menyebabkan kerja-kerja untuk menjemur bagi pengeringan kain batik tergendala, seterusnya penghasilan produk menjadi lambat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan