AM > BERITA

Pusat Khidmat Rakyat Sungai Buloh Bantu Mangsa Banjir - Ramanan

03/10/2024 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh diarahkan meninjau keadaan banjir kilat di kawasan berkenaan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu mangsa terjejas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata langkah itu bagi memastikan segala bantuan dapat disalurkan dengan kerjasama semua pihak.

“Saya juga turun untuk meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Pagi Paya Jaras untuk menyantuni mangsa yang terlibat dan menyampaikan bantuan yang diperlukan.

“Kita akan pastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik. Saya dapat memahami perasaan mereka,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebuah PPS dibuka yang menempatkan hampir 90 mangsa terjejas dari Kampung Kubu Gajah.

“Saya turut mengarahkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk menyalurkan bantuan yang perlu kepada mangsa banjir. Kita akan memastikan nasib mereka terjamin.

“Kepada semua penduduk, utamakan keselamatan diri dan keluarga, pantau anak-anak kecil, warga emas dan Orang Kurang Upaya,” katanya dan menambah pasukan pusat khidmat itu sentiasa berada di lapangan untuk memberikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan