AM > BERITA

Monsun Timur Laut : Siren Amaran Banjir Ditambah Baik - NRES

03/10/2024 01:15 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Penambahbaikan siren amaran banjir bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa antara langkah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) dalam mendepani Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang dijangka bermula pada November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata pengalaman mendepani banjir luar jangka pada penghujung 2021 menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan segera dan termasuk, meningkatkan bunyi siren.

“Contoh apa yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam dulu, siren itu tidak cukup nyaring dan orang tak dengar. Ada yang yang menganggap ia adalah bunyi siren bomba dan polis, menyebabkan tiada tindakan segera diambil.

“Sekarang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil tindakan meningkatkan bunyi siren yang berbeza dengan siren polis dan bomba disertakan dengan suara sekali. Bila dengar bunyi itu dimohon orang ramai pindah ke tempat lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2024 yang bertemakan Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata pada tahun 2021 sahaja, banjir telah menyebabkan 400,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.3 bilion, atau 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Dengan membuat persiapan yang sewajarnya sepanjang MTL, kita akan dapat mengurangkan impak bencana banjir dan sebagainya serta memastikan tiada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang teruk,” katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM300 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi persediaan menghadapi banjir dan RM11.8 bilion lagi diperuntukkan untuk projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya di bawah Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan, sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi.

“Melalui pelaksanaan projek ini, kita dapat mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada serta meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa dan penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan