AM > BERITA

Bernama Fokus Usaha Tingkat Pengetahuan, Literasi Media Komuniti Kampung Batu Laut

03/10/2024 06:35 PM

SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan memfokus kepada usaha meningkatkan pengetahuan dan literasi media dalam kalangan komuniti Kampung Batu Laut di Tanjung Sepat di sini menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nur-ul Afida Kamaludin berkata Bernama selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi menyahut seruan kerajaan dengan menjadikan Kampung Batu Laut sebagai ‘kampung angkat’ menerusi program berkenaan.

Beliau berkata Bernama akan melaksanakan pelbagai program secara berperingkat kepada komuniti di itu bagi meningkatkan kemahiran, bakat dan potensi mereka dalam bidang teknologi maklumat.

“Insya-Allah, pada 12 Okt kita akan lancarkan program ini di Kampung Batu Laut. Penekanan kami tertumpu kepada usaha mendedahkan bidang kewartawanan sebagai kerjaya masa depan. Industri media berkembang pantas jadi kita boleh berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk anak muda di Kampung Batu Laut.

“Kita memberi tumpuan kepada generasi muda untuk mereka fahami penyaluran maklumat secara berhemah, mencari maklumat sahih dan memanfaatkannya untuk kehidupan serta masa depan mereka. Kita cuba dekati penduduk kampung ini untuk bantu mereka kenali aspek-aspek ini,” katanya.

Nur-ul Afida berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbincangan antara barisan kepimpinan Bernama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Batu Laut di Balai MPKK Batu Laut, Tanjung Sepat di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, Pengurus Maklumat Perpustakaan Digital Hasnita Ibrahim serta Ketua Jabatan Komersil Mastura Hassan.

Nur-ul Afida juga berkata program berteraskan ‘Keciciran Pendidikan’ itu secara tidak langsung dapat membantu komuniti Kampung Batu Laut dalam mendepani dunia digital khususnya kes penipuan dan buli siber yang dilihat semakin berleluasa ketika ini.

“Daripada aspek pendidikan kita mungkin boleh bantu bagaimana menjadikan pembelajaran itu lebih menarik untuk para pelajar di sini. Ini bukan bererti kita tidak mengikut silibus Kementerian Pendidikan sebaliknya menjadi pelengkap kepada pembelajaran sedia ada,” katanya.

Antara program yang bakal dilaksana ialah pameran reruai, bengkel Bahasa Inggeris, bengkel penulisan, uji bakat pengacaraan televisyen dan radio, taklimat buli siber dan scammer, perlawanan sukan serta zumba.

Beliau juga berharap satu program susulan bermula Januari 2025 akan dapat dilaksana bagi membantu memperkasakan lagi sosioekonomi dan keperluan komuniti kampung berkenaan.

Ketua Kampung Batu Laut Subandi Sagandi, 63, pula berkata program yang bakal dilaksana dilihat mampu memberi manfaat kepada 5,000 penduduk setempat daripada pelbagai kaum.

“Kita harap program yang dibawa oleh Bernama ini akan dapat membantu pembelajaran anak-anak terutama yang keciciran dalam Bahasa Inggeris.

"Melalui program ini, saya nampak bahawa kerajaan memandang serius dengan pendidikan khususnya Bahasa Inggeris di kampung-kampung,” katanya.

Terdahulu, Nur-ul Afida bersama barisan kepimpinan agensi berita itu meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau tapak program bagi persiapan Majlis Pelancaran Program Santuni MADANI Bernama di Kampung Batu Laut pada 12 Okt ini.

Program Santuni MADANI bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung terpilih melibatkan Ahli Jemaah Menteri, pimpinan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan