AM > BERITA

Sultan Selangor Perkenan Fatwa Berkaitan Fahaman, Ajaran, Pegangan Dan Amalan GISBH

03/10/2024 11:23 PM

SHAH ALAM, 3 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang juga Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir telah menyembah maklum hasil mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan kepada Sultan Sharafuddin pada 30 Sept lepas di Istana Bukit Kayangan di sini.

Jawatankuasa itu turut memutuskan bahawa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah serta syariat.

"Apa-Apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baharu yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah," katanya.

Menurut kenyataan itu, butiran lanjut mengenai fatwa terkini berkenaan akan dihurai oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pada 20 Sept lepas, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya dan menitahkan agar semua rumah amal serta sekolah Islam di bawah kawalan organisasi itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera selain tidak dibenarkan beroperasi di negeri itu.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kanak-kanak yang terlibat terus dianiaya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan