AM > BERITA

Sultan Selangor Berkenan Terima Menghadap Tunku Mahkota Ismail, Bincang Pelbagai Isu

03/10/2024 11:15 PM

SHAH ALAM, 3 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor di Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan pada pertemuan lebih sejam itu, Sultan Selangor dan Tunku Mahkota Ismail membincangkan pelbagai isu melibatkan institusi diraja serta arena bola sepak tanah air.

“Pada pertemuan ini, Sultan Selangor menegaskan bahawa perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh di antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu. 

“Titah baginda, Raja-Raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata. Ini sangat penting kerana peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu agama malah membabitkan isu semasa,” menurut hantaran itu.  

Sultan Selangor mengingatkan semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum atau di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati serta disayangi rakyat. 

Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama Raja Melayu dielak daripada dibincangkan di media sosial.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat dan harus dipelihara serta dikekalkan sebagai antara wadah keharmonian negara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan