AM > BERITA

Belanjawan 2025: KUPPs Harap Ada Peruntukan Majukan Sektor Pelancongan Perlis

04/10/2024 01:08 PM

KANGAR, 4 Okt (Bernama) --  Kerajaan Persekutuan diharap mempertimbangkan peruntukan khas dalam Belanjawan 2025 untuk memajukan sektor pelancongan di Perlis,  khususnya di Padang Besar yang menjadi destinasi tumpuan pelancong ke negeri ini. 

Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs) Dr Ammar Hassan berkata Padang Besar bukan sekadar lokasi transit malah berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan peruntukan khas diperlukan untuk menganjurkan acara tahunan seperti karnival usahawan melibatkan penyertaan Indonesia, Malaysia dan Thailand sebagai antara usaha menarik lebih ramai pengunjung luar ke Perlis.

"Saya percaya dengan strategi yang tepat, Perlis dapat menjadi destinasi pelancongan yang berdaya saing, merangsang ekonomi tempatan dan memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat," katanya kepada Bernama.

Untuk rekod, Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan dibentang di Parlimen pada 18 Okt ini.

Sementara itu, pengarah sebuah syarikat pelancongan yang beroperasi di Perlis Anizam Noor berkata kedudukan strategik Perlis antara Langkawi, Pulau Pinang dan Thailand memberikan kelebihan kepada Perlis namun perancangan teliti dan sokongan kerajaan Persekutuan adalah 'kunci' untuk pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

“Diharapkan kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peruntukan untuk menaik taraf destinasi pelancongan di Perlis.

"Fasiliti pelancongan sedia ada memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan daya tarikan, sokongan dalam bentuk dana sangat penting bagi meningkatkan imej pelancongan Perlis yang mempunyai potensi besar untuk berkembang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan