AM > BERITA

Belanjawan 2025: Fokus Bincang Hal Ehwal Rakyat, Bukan Berpolitik - Johari

04/10/2024 12:16 AM

SHAH ALAM, 3 Okt (Bernama) -- Kesemua ahli Dewan Rakyat disarankan untuk fokus membincangkan hal ehwal rakyat dan bukannya berpolitik pada pembentangan Belanjawan 2025 nanti, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul. 

Beliau berkata Dewan Rakyat merupakan platform yang amat penting untuk membawa isu-isu mustahak demi kepentingan rakyat sekali gus menyeru setiap ahli Parlimen supaya meninggalkan sentimen politik di luar dewan agar persidangan berjalan lancar. 

"Mereka patut faham anda bercakap mengenai masa depan negara, jadi apa yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan itu amat penting. 

"Kesemua mereka (ahli Parlimen) patut ambil peluang, bertanya dan memberikan pandangan sebab kalau tidak mereka rugi, kerana pegawai-pegawai kerajaan telah bekerja keras menyediakan belanjawan yang seharusnya diambil kesempatan sebaiknya untuk kelangsungan kita," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Townhall Ikon: Yang Dipertua Dewan Rakyat sempena Minggu Destini Siswa (MDS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sesi Oktober 2024 di sini hari ini. 

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara. 

Terdahulu, Johari turut melancarkan Aplikasi Siswa Madani yang dibangunkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sebagai pusat sehenti bagi memudahkan mahasiswa daripada golongan B40 di universiti awam memohon bantuan dengan lebih pantas. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan