AM > BERITA

Pusat Beli-belah Digesa Sedia Ruang Membaca, Perbanyakkan Kedai Buku

04/10/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pusat beli-belah digesa supaya menyediakan ruang membaca dan memperbanyakkan kedai buku di dalam premis mereka bagi memenuhi minat dan keperluan pembaca.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia olah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati 57.7 peratus rakyat negara ini gemar membaca di kedai buku dan 24.5 peratus lagi di restoran atau kafe siber.

"Sebagai contoh, BookXcess di pusat beli-belah MyTown ini telah menjadi tarikan utama golongan muda," katanya dalam ucapan perasmian Karnival Baca Perdana 2024 yang julung kalinya diadakan anjuran PNM, di pusat beli-belah itu di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Aaron berkata hasil beberapa siri kajian berkenaan juga mendapati, budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dengan purata membaca sekurang-kurangnya dua naskhah pada 2005, 15 naskhah pada 2014 dan terkini 24 naskhah pada tahun lepas.

“Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 juga mendapati 69.9 peratus rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan pengetahuan dan penemuan ini merupakan indikator positif ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi, setanding dengan negara-negara maju lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata jumlah International Standard Book Number (ISBN) yang dimohon oleh penerbit buku bagi penerbitan buku fizikal pada tahun lepas juga meningkat sebanyak 50 peratus atau 9,332 permohononan berbanding tahun sebelumnya. 

"Dapatan data ini menunjukkan bahawa industri penerbitan negara khususnya penerbitan buku fizikal masih relevan dan mendapat permintaan menggalakkan daripada pembaca serta dilihat kekal relevan walaupun persekitaran media elektronik sedang menguasai kehidupan pada masa ini," katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga sedang meneliti Dasar Buku Negara (DBN) sedia ada yang wujud sejak 27 Nov 1985, supaya dasar baharu yang ditambah baik dapat dilancarkan tahun depan.

Beliau turut menyeru syarikat penerbitan buku supaya menerbitkan lebih banyak bahan bacaan kerana kajian menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berminat membeli bahan bacaan dengan memperuntukkan hingga RM500 setahun bagi tujuan itu.

Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara akan mengkaji cadangan dikemukakan melalui Kajian Profil Membaca 2022/2023 untuk mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bagi memantau tahap membaca rakyat Malaysia secara menyeluruh mulai 2025-2030. 

Beliau berkata kementerian akan melaksanakan beberapa inisiatif mulai tahun hadapan antaranya Kem Citra Baca iaitu program berbentuk aktiviti sosial, memperkenalkan Ikon Pembaca Kebangsaan baharu dan melantik Tokoh Pembaca Kebangsaan pertama selain Program Kalam Karyawan (Dokumentari Khas Sasterawan Negara).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan