AM > BERITA

Gagal Siapkan Rumah: TTPM Arahkan Kontraktor Bayar Balik Pelanggan RM50,000

04/10/2024 04:09 PM

LABUAN, 4 Okt (Bernama) -- Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini mengarahkan seorang kontraktor untuk membayar balik wang RM50,000 kepada seorang pelanggan selepas gagal menyiapkan pembinaan sebuah rumah mengikut tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Labuan Junaidah Arbain berkata berdasarkan perjanjian, kontraktor tersebut dikehendaki menyiapkan pembinaan rumah itu pada 7 Okt 2023.

Beliau berkata kes itu telah didengar 25 Julai 2024 di TTPM Labuan yang memutuskan bahawa kontraktor tersebut mesti membayar pelanggan RM50,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tribunal.

"Namun, kontraktor bukan sahaja terlepas tarikh akhir tetapi juga menyebabkan pelanggan menanggung kos tambahan untuk menyiapkan baki kerja pembinaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Junaidah berkata TTPM berfungsi sebagai saluran undang-undang alternatif untuk pengguna yang menuntut pampasan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), bagi tuntutan tidak melebihi RM50,000.

Beliau menggesa orang ramai supaya menyedari hak mereka sebagai pengguna dan mengambil tindakan dengan memfailkan tuntutan di tribunal sekiranya barangan yang dibeli atau perkhidmatan tidak menepati piawaian dijanjikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan