AM > BERITA

Anwar Tiba Di Bangladesh

04/10/2024 04:50 PM

Daripada Kamarul Irwan Alias

DHAKA, 4 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi bagi membuka laluan kepada hubungan lebih erat antara Malaysia dan Bangladesh.

Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pada 2 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia). 

Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri, bersama dengan para Penasihat Bangladesh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Bangladesh, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim.

Anwar diberikan sambutan permaidani merah termasuk tembakan meriam 19 kali serta kawalan kehormatan oleh anggota Angkatan Tentera Bangladesh.

Lawatan ini yang dilakukan selepas lawatan negara Anwar selama tiga hari ke Pakistan, akan menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, di samoping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Anwar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Haznah dalam sidang media berkata ini adalah lawatan pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus.

"Lawatan ini mengimbau sejarah eratnya hubungan antara kedua-dua negara, kerana Malaysia merupakan negara Islam pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 31 Jan 1972," katanya.

Pada lawatan ini, Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Pada 2023, Bangladesh adalah rakan dagangan ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar, menjadikannya rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Tahun lepas menyaksikan jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.7 bilion (US$2.78 bilion).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan