AM > BERITA

Juruteknik Jatuh Di Lereng Gunung Machinchang Baharu Bekerja Tiga Bulan Di Tempat Baharu - Abang

04/10/2024 05:33 PM

ALOR SETAR, 4 Okt (Bernama) -- Juruteknik yang maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi semalam baharu bekerja di pusat tarikan pelancong Eagle’s Nest Skywalk selama tiga bulan.

Abang sulung mangsa Khairil Ajhar Jaafar, 47, berkata adiknya Khairul Nizam, 41, mahu beralih angin di tempat kerja baharu selepas 20 tahun bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Saya mengetahui tentang kejadian arwah jatuh itu pada pukul 2 petang semalam selepas dihubungi ibu, Kasyah Hashim, 72, yang memaklumkan arwah terjatuh semasa bekerja…saya ingat dia jatuh biasa sahaja, tetapi tidak sangka dia jatuh dari ketinggian yang sangat tinggi.

“Kejadian ini sangat mengejutkan kami sekeluarga, dia seorang yang ringan tulang, ramah dalam keluarga kami, pemergiannya memang mengejutkan kami," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Khairil Ajhar yang juga seorang jurugambar bebas berkata kali terakhir Khairul Nizam berinteraksi bersama ahli keluarga yang lain adalah menerusi pesanan WhatsApp semasa meraikan hari lahir salah seorang ahli keluarga pada minggu lepas.

Tambah beliau, adiknya meninggalkan seorang isteri Zunirah Othman, 36, serta tiga anak berusia 10, 16 dan 17 tahun.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Rafeah, Taman Uda, di sini selepas selesai urusan bedah siasat di HSB hari ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang juruteknik maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari.

Khairul Nizam dilaporkan terjatuh ketika berada di besi penahan dek kaca di kawasan tarikan pelancong di gunung itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan