NELAYAN TERJATUH DI PERAIRAN BATU LAUT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA

04/10/2024 10:58 PM

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) -- Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas setelah dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut, ditemukan lemas di perairan Tanjung Gabang dekat sini pada 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa R. K Kesavan, 60, dijumpai oleh nelayan tempatan pada kedudukan enam batu nautika barat daya Tanjung Gabang.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mendapat maklumat awal daripada nelayan tempatan mengenai berita penemuan mayat mangsa.

“Susulan itu, aset menyelamat melibatkan Maritim Selangor dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) serta Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) digerakkan ke lokasi penemuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kanchong Laut, Kuala Langat bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Mangsa dikatakan keluar ke laut bersama rakan menggunakan bot kelas A sebelum terjatuh selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot patah.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan